‘Mereka Besarkan Saya Bukan Senang’ – Luahan Ee Wei Buat Ramai Tersentuh

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei akhirnya tampil bersuara selepas menerima kecaman melampau di media sosial susulan prestasi yang tidak menentu bersama gandingannya, Chen Tang Jie.

Apa yang lebih menyentuh hati, Ee Wei berkata kecaman itu bukan sahaja ditujukan kepada dirinya, malah ada segelintir warganet yang sanggup menyerang ibu bapanya dengan kata-kata kesat — sesuatu yang benar-benar membuatkan keluarganya sedih.

Menurut Ee Wei, dia boleh menerima kritikan terhadap prestasinya, namun apabila ibu bapa turut menjadi sasaran, ia sudah melampaui batas.

“Bagi saya, saya okey saja. Tapi ibu bapa saya sedih. Mereka jaga saya sampai besar bukan senang.
Bila orang cakap macam itu, memang tidak sedap didengar,” katanya.

Ee Wei mengakui dia menerima pelbagai mesej negatif selepas tersingkir pada suku akhir Terbuka Malaysia minggu lalu, diikuti kekalahan pada pusingan pertama Terbuka India baru-baru ini.

Walaupun sudah biasa menerima komen pedas sebelum ini, Ee Wei menegaskan dia memilih untuk tidak melayan dan mahu terus fokus memperbaiki prestasi.

“Sebelum ini pun memang sudah banyak saya terima kecaman tetapi saya tidak ambil peduli.
Saya hanya mahu fokus buat yang terbaik,” katanya.

Dalam masa sama, Ee Wei turut menepis dakwaan kononnya dia tidak berpuas hati atau marah kepada Tang Jie di dalam gelanggang. Jelasnya, wajah serius itu bukan tanda masalah, sebaliknya kerana dia mahu kekal fokus ketika menentang lawan.

“Saya masuk gelanggang memang mahu serius. Saya mahu menentang lawan saya, bukan tunjuk muka untuk orang luar.
Komunikasi kami tiada masalah, hubungan kami okey,” jelasnya.

Mengulas mengenai prestasinya, Ee Wei mengakui tahap keyakinannya sedikit menurun selepas Terbuka Malaysia dan mengakui permainan mereka masih belum kembali ke tahap terbaik seperti sebelum ini.

Namun, dia percaya setiap pemain ada pasang surut, dan perkara paling penting adalah proses serta perkembangan dalam latihan.

“Sekarang memang perlu cari balik rentak permainan kami.
Bukan setiap masa kami boleh bermain pada tahap prestasi terbaik.
Yang penting proses dan perkembangan itu ada,” katanya.

Walaupun berdepan tekanan luar, Ee Wei memilih untuk kekal positif dan terus bekerja keras demi negara — serta mahu membanggakan kedua ibu bapanya.

“Hati kena kuat bila masuk gelanggang. Tekanan luar itu kami tidak boleh kawal.
Apa yang saya mahu, saya mahu berjuang untuk negara dan banggakan ibu bapa,” katanya.

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *